:: Tugas Rasmi Guru Kelas :: ~~ Bidang Tugas

Posted on 11:54 PM
Bidang Tugas:

1. Merekod dan mengemaskini butiran peribadi pelajar ke dalam buku jadual kedatangan, buku rekod mengajar, kad 001, kad 002 dan buku kemasukan sekolah.

2. Buku jadual kedatangan para pelajar hendaklah ditanda pada waktu yang pertama pada setiap hari belajar.

3. Memastikan pelajar membawa surat daripada ibu bapa penjaga atau surat doktor sekiranya mereka tidak dapat menghadirkan diri di sekolah.

4. Bagi pelajar yang tidak hadir selama tiga hari berturut-turut dengan tiada memberi penjelasan dan sebab yang munasabah, guru darjah hendaklah mengirimkan surat amaran ponteng sekolah kepada penjaganya dengan satu salinan ke pejabat sekolah.

5. Sekiranya pelajar tidak hadir selama sebulan, namanya dikeluarkan dari buku jadual kedatangan. Kes-kes ini hendaklah dirujukkan kepada PK HEM terlebih dahulu.

6. Menjalankan pengurusan bilik darjah seperti pemilihan ketua darjah mengikut suara ramai dalam kelas, membuat giliran bertugas, giliran kebersihan, alat tulis, perhiasan kelas, kerusi meja berada dalam keadaan teratur dan menguruskan pertukaran pelajar.

7. Memungut yuran-yuran khas, yuran peperiksaan, sukan dan permainan dan mengeluarkan resit kepada pelajar dan merekodkannya ke dalam buku jadual kedatangan dan buku yuran.

8. Menyerahkan kira-kira pungutan yuran pada masa yang ditetapkan pihak sekolah.

9. Menguruskan pengagihan dan pemulangan Skim Pinjaman Buku Teks kepada pelajar dan memungut buku daripada pelajar yang hendak bertukar ke sekolah lain.

10. Membantu Guru Besar dalam pengurusan biasiswa, mengirim surat-surat jemputan kepada ibu bapa, sijil berhenti sekolah dan surat akuan.

11. Mengisi butiran semua ujian dengan lengkap untuk dikaji dan dianalisis.

12. Mengambil, menyalin dan menyemak jadual waktu kelas masing-masing dan memberitahu pelajar.

13. Bertanggungjawab terhadap disiplin pelajar dalam kelasnya dan menanam semangat rajin, tekun, dedikasi, berusaha dan kesedaran sivik.

14. Melaporkan kes-kes yang tidak dapat diselesaikan oleh guru kepada guru PK HEM seperti ketidakhadiran, ponteng yang berulang, kesulitan memungut yuran dan masalah disiplin lain.

15. Merekodkan butiran peribadi yang lengkap mengenai kemasukan pelajar baru dan mereka yang berhenti dalam Jadual Kedatangan, Buku Rekod Mengajar dan Buku Daftar Kemasukan Pelajar.

16. Bagi kelas-kelas peperiksaan adalah penting baginya untuk mengisi borang masuk peperiksaan. Mereka juga perlu memungut yuran peperiksaan dan membantu menyusun kerusi meja.

17. Mengisi butiran kemajuan akademik pelajar ke dalam Buku Kemajuan di samping menyediakan tabung markah atau mark sheet.

18. Bertanggungjawab terhadap keselamatan perabot dan kebersihan kelasnya.

19. Menyediakan senarai tugas bagi pelajar dalam kelasnya untuk tugas pembersihan kelas pada tiap-tiap hari persekolahan.

20. Berada di samping pelajarnya semasa pelajar beratur di kaki lima kelas dan pada masa perhimpunan hari biasa.

21. Memastikan papan kenyataan kelas ditampalkan dengan makalah-makalah, maklumat dan berita-berita yang positif, membina dan terkini.
Dalam tiap-tiap peperiksaan sekolah, guru mata pelajaran harus memberi markah kepada guru-guru kelas untuk meringankan beban tugas guru.

:: Tugas Rasmi Guru Disiplin :: ~~ Tugas Khas

Posted on 11:49 PM
1. Pilih pengawas pada setiap hujung tahun untuk bertugas pada tahun berikutnya.

2. Menentukan pemilihan pengawas adalah berdasarkan pencapaian dalam bidang akademik, kebolehan dan kemampuan pelajar dalam bidang sukan dan permainan.

3. Memastikan perlantikan para pengawas adalah berdasarkan pengalaman, sahsiah, daya kepimpinan dengan mengambil kira pandangan dan sokongan para guru. Pemilihan akhir dilakukan oleh para pelajar dengan cara undi, jikalau didapati sesuai dan boleh dilaksanakan setelah dipersetujui oleh pihak guru.

4. Pemilihan calon dilakukan oleh guru-guru sendiri dan tidak dicalonkan oleh pelajar.

5. Menentukan Ketua dan Penolong Ketua Pengawas dilantik oleh guru penasihat lembaga pengawas dengan nasihat guru-guru lain.

6. Mengaturkan mesyuarat lembaga pengawas yang diadakan dari semasa ke semasa di sekolah.

7. Mengawasi disiplin dan akhlak para pelajar di sekolah sepanjang hari persekolahan.

8. Menerima laporan daripada para pengawas dan mengambil segala langkah dan tindakan yang sesuai.

9. Menentukan segala peraturan dan undang-undang sekolah sentiasa dipatuhi oleh para pelajar sekolah.

10. Mempamerkan peraturan dan undang-undang sekolah di papan-papan kenyataan dan di dalam bilik darjah.

11. Membantu Guru Besar dalam mengesan dan mengesahkan kesalahan-kesalahan besar yang dilakukan oleh pelajar yang boleh membawa kepada penggantungan sementara atau pembuangan sekolah.

12. Merekodkan segala kesalahan, hukuman dan denda yang dijatuhkan kepada pelajar di sekolahnya.

13. Berhubung rapat dengan guru bimbingan / kaunseling untuk menyelesaikan masalah pelajar.

14. Bekerjasama dengan guru-guru bertugas harian atau mingguan untuk menguruskan kawalan terhadap pelajar pada hari perhimpunan, upacara dan majlis-majlis yang diadakan oleh pihak sekolah.

Menguruskan pertandingan kebersihan bilik darjah pada tiap-tiap minggu dan mengumumkan kelas yang paling kotor.